Monday, November 19, 2007

Konvensyen Perwarisan Harta Islam Dan Daftar Wasiat Malaysia

10 Julai , KUALA LUMPUR – Amanah Raya Berhad dengan kerjasama Persatuan Pewarisan Harta Malaysia (PERWARIS) hari ini menganjurkan Konvensyen Perwarisan Harta Islam dan Daftar Wasiat Malaysia dari tarikh 10 sehingga 12 Julai bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Objektif penganjuran konvensyen adalah untuk membincangkan dan memperdebatkan isu-isu berkaitan pentadbiran harta pusaka terutamanya untuk menghasilkan resolusi yang berkaitan bagi diusulkan kepada pihak kerajaan. Konvensyen ini juga bertujuan untuk mengiktiraf PERWARIS sebagai sebuah pertubuhan bebas yang mempunyai kredibiliti dalam meresolusikan sesuatu perkara berkaitan Perancangan dan Pentadbiran Harta Pusaka orang Islam.
YB. Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Penaung Konvensyen Perwarisan Harta Islam Dan Daftar Wasiat Malaysia telah merasmikan konvensyen dan majlis pelancaran Daftar Wasiat Malaysia (DWM).

Dalam ucapannya, beliau menyatakan sokongan dan keyakinan kerajaan bahawa konvensyen ini akan menjadi platform utama untuk menwujudkan persefahaman antara semua pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran perwarisan supaya bersatu tenaga dalam memastikan pentadbiran harta pusaka dapat dijalankan dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab, cepat lagi bijaksana.

Menurutnya, “Sudah sampai masanya untuk semua pihak yang terlibat, baik secara langsung atau tidak untuk sama-sama mencadangkan mekanisma yang terbaik dan seterusnya menerima pakainya bersandarkan kesedaran untuk mempercepatkan proses pentabiran pusaka bagi membendung gejala dan kesan negatif yang timbul akibat kekurangan ilmu pengetahuan dan keperluan semasa yang kian mencabar.”

Beliau juga menyatakan Daftar Wasiat Malaysia yang dilancarkan pada hari ini merupakan usaha terbaik AmanahRaya dalam mewujudkan sistem pendaftaran wasiat setempat yang pertama seumpamanya diwujudkan di negara kita. Kewujudan sistem daftar ini bagi memudahkan penyimpanan dan penyemakan, baik bagi orang Islam dan bukan Islam. Dengan adanya Daftar Wasiat Malaysia, pewasiat tidak perlu lagi bimbang kedudukan wasiat mereka lagi kerana ianya secara rasmi telah didaftar dan terpelihara.

Pada majlis ini, AmanahRaya telah diwakili oleh Ybhg Dato’ Haji Dusuki Ahmad, Pengerusi AmanahRaya yang merangkap Pengerusi Konvensyen Perwarisan Harta Islam Dan Pelancaran Daftar Wasiat Malaysia serta YBhg Dato’ Ahmad Rodzi Pawanteh, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya yang juga merupakan Yang Dipertua PERWARIS. Bagi pihak Amanahraya, penganjuran konvensyen dilihat amat berjaya kerana buat pertama kalinya badan-badan pengamal pewarisan, badan perundangan dan kehakiman, para ilmuan, ulama dan pihak swasta yang terlibat dalam industri perwarisan ini telah terlibat secara langsung dalam menjayakan konvensyen ini. Sehubungan itu, konvensyen diyakini dapat menghasilkan resolusi-resolusi yang sejajar dengan objektif konvensyen terutama berkaitan objektif penubuhan PERWARIS dan penyelarasan dan keseragaman dalam pengurusan harta pusaka yang lebih effektif. AmanahRaya telah terlibat sepenuhnya dalam merealisasikan penganjuran konvensyen ini melalui idea penganjuran, penglibatan warga kerja dan kos penganjurannya.
Sebanyak 10 kertas kerja akan dibentangkan sepanjang 3 hari konvensyen yang antaranya mengenai Penyelarasan Undang-Undang Pewarisan:Isu-Isu dan Penyelesaiannya, Ke Arah Penyelesaian Harta Pusaka Kecil Yang Lebih Bersepadu, Cekap dan Cemerlang, Isu-Isu Berbangkit dan Undang-Undang Islam Yang Perlu Dipatuhi Di Dalam Mengeluarkan Sijil Faraid dan Kaedah Penamaan Simpanan Tabung Haji. Semua hasil kerja ini bersama dengan dua (2) lagi kertas kerja yang tidak sempat dibentangkan pada konvensyen ini telah dibukukan untuk dijadikan sumber rujukan kepada masyarakat.

Mengenai Amanah Raya Berhad
Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia telah ditubuhkan pada 1921 dan diperbadankan pada 1995. AmanahRaya menyediakan perkhidmatan Pengurusan Perwarisan; Penyediaan, Penyimpanan dan Pelaksanaan Wasiat; Pentadbiran Harta Amanah; dan Perkhidmatan Peramanahan. Ia juga adalah Pemegang Amanah kepada 79 dana amanah saham yang bernilai melebihi RM72 bilion serta Pemegang Amanah bagi bon dan pelbagai instrumen kewangan dan pengurusan pelaburan. AmanahRaya menawarkan produk dan perkhidmatan yang mesra pelanggan dan mudah dihubungi melalui 20 cawangan yang terdapat di seluruh Malaysia.
-Tamat-

No comments: